#TILWithPUTRA: #ParlimenUntukApa

  • Post category:General


Baru-baru ini, kerajaan memutuskan bahawa Parlimen masih tidak perlu untuk bersidang ketika tempoh darurat. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengeluarkan kenyataan bahawa Jemaah Menteri menentukan keputusan ini setelah mengambil kira beberapa faktor merangkumi aspek perundangan dan kesihatan. Namun begitu, adakah tepat keputusan kerajaan yang berpendapat bahawa tiada keperluan untuk Parlimen diadakan sedangkan Yang di-Pertuan Agong sendiri telah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat? Oleh yang demikian, pasti anda tertanya-tanya, apakah sebenarnya fungsi Parlimen Malaysia? Ayuh kita belajar bersama dengan #TILwithPUTRA! 

Negara kita mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Negara. Salah satu kriteria sistem ini ialah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan, iaitu Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif. Parlimen jatuh di bawah Perundangan, di mana ia merupakan lambang struktur demokrasi Kerajaan dan merupakan badan penggubal undang-undang tertinggi negara. Parlimen terdiri daripada tiga komponen utama, iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Parlimen berfungsi untuk membuat undang-undang yang dikuatkuasakan ke seluruh negara. Ia meluluskan undang-undang persekutuan, membuat pindaan kepada undang-undang persekutuan sedia ada, memeriksa dasar-dasar kerajaan, meluluskan perbelanjaan kerajaan dan meluluskan hasil-hasil cukai yang baru. Sebelum sesuatu rang undang-undang diluluskan menjadi undang-undang, ia perlu melalui proses ini:

Selain itu, Parlimen juga bertindak sebagai forum bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan kepentingan orang ramai dan secara amnya, ahli Parlimen menikmati imuniti daripada prosiding sivil dan jenayah terhadap perkara yang dibahaskan dan yang dibuat di dalam sesi Parlimen.

Setelah meneliti fungsi Parlimen, tidak hairanlah Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said telah menulis surat kepada Peguam Negara, Idris Harun untuk menyatakan cabang legislatif telah lumpuh akibat keputusan eksekutif menggantung Parlimen dan beliau turut mendapat sokongan 90 anggota parlimen di rantau Asean yang menggesa agar parlimen Malaysia kembali dibuka. Apa pula pendapat anda, perlukah Parlimen diadakan sekarang atau tiada keperluan lagi? Nyatakan pendapat anda di ruang komen di bawah! 

Sekiranya anda berminat untuk membaca #TILWithPUTRA yang berkaitan dengan undang-undang, anda boleh klik pautan ini dan ini

Nabilah Aryssa Mohamad Askandar

Research Associate

PUTRA Centre For Social Studies

Leave a Reply