#TILWithPUTRA : Wawasan 2020

  • Post category:General

Wawasan 2020

Satu pandangan jauh

Bukan impian malah kenyataan

Bersama kita jayakan.”

Masihkah anda ingat lagu Wawasan 2020? Lirik lagu ini menggambarkan impian rakyat Malaysia untuk meningkatkan kemajuan negara dan merasai nikmat kemewahan tanpa kepincangan apabila tahun 2020 tiba. Wawasan 2020 merupakan ilham Tun Dr Mahathir Mohamad yang mensasarkan Malaysia mencapai negara maju pada tahun tersebut. Beliau turut menanam kapsul masa yang dikatakan mengandungi amanah untuk disampaikan kepada generasi akan datang. Kapsul-kapsul masa ini terletak di lima lokasi yang berlainan, iaitu di:

  • Sunway Putra Mall

Pada 12 Jun 1987, Tun Dr Mahathir telah menanam kapsul masa yang dijadualkan dibuka pada 2087 iaitu 100 tahun akan datang ketika beliau merasmikan bangunan pusat membeli-belah The Mall, Kuala Lumpur (kini berpindah milik kepada syarikat Sunway Berhad dan bertukar nama menjadi Sunway Putra Mall.)

Kapsul masa tersebut masih selamat tersimpan di pejabat pengurus besar bangunan tersebut. Namun begitu, media tidak dibenarkan merakam gambar kapsul tersebut.

  • Hentian Rehat & Rawat Rawang

Pada 8 September 1994, Tun Dr Mahathir menanam kapsul di R&R Rawang menghala utara di Lebuh Raya Utara Selatan. Kapsul ini sepatutnya dibuka pada tiga tahun lepas tetapi tempoh konsesi dilanjutkan sehingga 2030 dalam perjanjian konsesi tambahan. Oleh sebab itu, tempohnya dipanjangkan ke tahun 2038 melalui perjanjian konsesi tambahan ketiga.

  • Mercu Tanda Putrajaya

Mercu di Taman Putra Perdana ini merupakan monumen yang dibina khas untuk Wilayah Persekutuan Putrajaya.

  • Menara Kuala Lumpur

Kapsul yang terletak di sebelah mini teater ini telah ditanam pada 1 Oktober 1996. 

  • Bursa Malaysia

Kapsul masa ini ditanam oleh Anwar Ibrahim dan Daim Zainuddin (yang merupakan Menteri Pendidikan dan Menteri Kewangan ketika itu).

Kapsul di Menara Kuala Lumpur sepatutnya dibuka pada tahun 2018 dan kapsul-kapsul masa lain pula dijadualkan untuk dibuka pada tahun 2020. Namun begitu, tiada satu pun kapsul masa yang sudah dibuka dan hanya Pejabat Perdana Menteri sahaja yang boleh mengumumkan tarikh pembukaan kapsul-kapsul ini.

Walaupun kapsul-kapsul masa ini merupakan perkara yang menerujakan, perkara yang lebih penting di sini adalah adakah Wawasan 2020 yang diimpikan oleh rakyat Malaysia telah direalisasikan? Pada tahun 1991, Tun Dr Mahathir telah berkata,

“Menjelang tahun 2020, Malaysia dapat menjadi negara bersatu, dengan masyarakat Malaysia yang yakin, mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh, hidup dalam masyarakat yang demokratik, liberal dan bertolak ansur, penyayang, adil dari segi pengagihan ekonomi, progresif dan makmur, dan mempunyai penguasaan sepenuhnya terhadap ekonomi yang bersaing, dinamik, cergas dan kental.”

Bagi mengecapi wawasan ini, Malaysia perlu mengatasi sembilan cabaran strategik:

  1. Cabaran untuk mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama.
  2. Cabaran untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. 
  3. Cabaran untuk mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun.
  4. Cabaran untuk mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didokong oleh nilai etika paling tinggi.
  5. Cabaran untuk mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.
  6. Cabaran untuk mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan.
  7. Cabaran untuk mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh.
  8. Cabaran untuk memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi.
  9. Cabaran untuk mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Pada pendapat anda, adakah negara kita telah berjaya mengatasi kesemua sembilan cabaran di atas dan adakah Wawasan 2020 yang diimpikan menjadi kenyataan? Saya tinggalkan soalan-soalan ini untuk anda jawab di ruang komen di bawah. Jumpa minggu depan untuk #TILwithPUTRA yang seterusnya! Akhir sekali, tepuk dada tanya selera tetapi jika selera anda nasi lemak, tepuk dada anda sekali lagi untuk dapatkan jawapan mengenai Wawasan 2020 ini!

Nabilah Aryssa binti Mohamad Askandar

Research Associate

PUTRA Centre for Social Studies

Leave a Reply