#TILWithPUTRA : RUKUN NEGARA II

  • Post category:General

Dalam artikel #TILWithPUTRA pada minggu yang lalu, latar belakang mengenai Rukun Negara dan juga peranannya sebagai tunjang keamanan dan kemajuan Malaysia telah dibincangkan. Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meninggalkan amanat dengan impian dijadikan sebagai kiblat perpaduan negara:

  • “Jika kita benar-benar mahu hidup sebagai satu keluarga dalam satu rumah, bernama Malaysia, maka kita mesti ikhlas antara satu dengan lain — Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dusun, Siam — Islam, Buddha, Hindu, Kristian dan lain-lain. 
  • “Jika kita ikhlas maka kita tidak boleh kata apa-apa yang akan menyakit hati antara satu sama lain. Kita juga tidak boleh buat apa-apa yang menyusah hati orang lain. 
  • “Sebagai ahli keluarga yang ikhlas kita mesti selalu tolong menolong sesama kita. Yang kaya tolong yang miskin. Yang maju tolong yang kurang maju. 
  • “Dengan cara itu barulah kita akan jadi satu bangsa dan negara yang bersatu padu dan kuat. Semua orang akan bahagia. Barulah malaysia dihormati oleh dunia.”

Prinsip Rukun Negara yang kedua ialah “Kesetiaan Kepada Raja dan Negara”. Kesetiaan Kepada Raja dan Negara bermaksud rakyat Malaysia berpegang kepada prinsip bahawa kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berpelembagaan. Dalam erti kata lain, rakyat Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

Dari konteks undang-undang, Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah Ketua Negara. Perkara 44 menyebut bahawa YDPA  adalah sebahagian daripada komponen yang membentuk Parlimen di negara ini.

Ramai yang mempersoalkan bahawa dalam konteks yang bagaimanakah prinsip Rukun Negara yang kedua ini menjadi lambang perpaduan rakyat? Hal ini akan dapat dilihat dengan jelasnya apabila perhubungan rakyat dan Raja diperkuatkan di mana rakyat mencurahkan taat setianya kepada Raja manakala Raja atau pemerintah akan menyediakan pelindungan kepada negara dan seluruh rakyat jelata. Hubungan timbal balas ini meletakkan asas kesetiaan tidak berbelah bahagi dalam kalangan rakyat lalu membentuk semangat kebangsaan yang boleh menyatupadukan semua rakyat tidak kira bangsa atau agama.

Sebagai contoh, jika seseorang rakyat Malaysia yang berada di luar negara menghadapi kesusahan, maka kedutaan negara kita sebagai wakil Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk membantunya.

Oleh itu, rakyat Malaysia yang menghayati prinsip Rukun Negara dan rakyat yang sivil tidak akan memperlekeh Institusi Raja dan tidak seharusnya mempolitikkan perkara ini. Adakah kita rakyat yang menghormati Rukun Negara? Tepuk dada tanya selera. Nantikan prinsip-prinsip Rukun Negara yang seterusnya di #TILwithPUTRA akan datang

Mohd Haziq Bin Jamaludin

Research Partner 

PUTRA Centre For Social Studies

This Post Has 2 Comments

  1. Nabilah

    looking forward to Rukun Negara III!

Leave a Reply