#TILWithPUTRA : RUKUN NEGARA

  • Post category:General

Pada masa kini, generasi muda seolah-olah sudah melupakan atau tidak menghayati semangat yang terkandung di sebalik prinsip Rukun Negara. Sekiranya prinsip ini ditanyakan kepada mereka, boleh dikatakan ramai yang tidak mengingati kelima-lima prinsip ini. Rukun Negara merupakan ideologi kebangsaan Malaysia yang telah dibentuk pada 31 Ogos 1970. Ideologi ini diperkenalkan berikutan Peristiwa 13 Mei 1969 yang telah melemahkan perpaduan antara kaum di Malaysia. Peristiwa ini diakibatkan daripada rasa tidak puas hati antara rakyat dan menyebabkan beberapa kekacauan serta perbalahan yang melibatkan kaum berlainan berlaku di beberapa kawasan di Tanah Melayu. Memetik kata-kata Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, 1969:

13 Mei merupakan satu pengalaman dan pengajaran yang tidak dapat kita semua lupakan buat selama-lamanya, kerana kejadian itu dapat menunjukkan kepada kita semua tentang bahaya-bahaya yang boleh timbul sekiranya kita terlampau lalai atau cuai.

Maka lahirnya Rukun Negara yang digubal sebagai falsafah negara dan pendekatan baru ke arah mewujudkan sebuah negara bangsa yang stabil. Lima prinsip Rukun Negara yang diwujudkan ini adalah dibentuk berdasarkan acuan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan juga agama. Oleh itu, prinsip-prinsip dalam Rukun Negara jelas merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi memastikan kejayaan dan kestabilan Malaysia. 

Prinsip Rukun Negara yang pertama ialah Kepercayaan kepada Tuhan. Prinsip ini  dimaksudkan sebagai bangsa dan negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Kepercayaan beragama akan menjadikan Malaysia suatu bangsa dan negara yang berdaulat. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam adalah agama rasmi persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam persekutuan. Selain itu, tindakan membeza-bezakan seseorang warganegara atas alasan atau perihal agama adalah dilarang sama sekali. 

Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari kepentingan agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia setelah mengambil kira Perkara 3 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Oleh sebab itu, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara. Namun begitu, ketiadaan agama bukanlah merupakan suatu kesalahan di sisi undang-undang.

Tun Abdul Razak menjamin cita-cita perpaduan negara akan tercapai apabila rakyat mengamalkan prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara. Adakah anda bersependapat dengan beliau? Nantikan prinsip-prinsip Rukun Negara yang berbaki di #TILwithPUTRA akan datang!

Nabilah Aryssa binti Mohamad Askandar

Research Associate

PUTRA Centre for Social Studies

This Post Has One Comment

Leave a Reply