PUTRA 101: Kesan Pandemik COVID-19 Kepada Ekonomi Malaysia

Ramai yang menyangka bahawa ekonomi adalah subjek yang terlalu teknikal dan untuk memahaminya memerlukan seseorang itu mempunyai kepakaran khusus. Namun pengarang buku ‘Economics: The User’s Guide’, Ha-Joon Chang, berpandangan bahawa 95% perbincangan isu-isu ekonomi telah dengan sengaja dirumitkan.

Berdasarkan buku ‘The Econocracy: The Perils of Leaving Economics to The Experts’ pula,  perbincangan berkaitan ekonomi juga telah menjadi subjek yang begitu sukar untuk diwacanakan secara umum oleh masyarakat awam. Hal ini telah memberi kesan tidak langsung kepada masyarakat umum bahawa mereka tidak layak untuk mengutarakan pandangan dalam hal-hal berkaitan ekonomi serta mustahil untuk mereka menyumbang kepada perubahan terhadap sistem ekonomi tersebut dek kerana anggapan bahawa ekonomi adalah satu sistem yang sangat sukar dan hanya boleh difahami oleh para pakar – selain dari menjadi alat kuasa bagi sesetengah pihak.

Sebagai entiti pendidik dan pemikir kajian sosial, PUTRA – Centre for Social Studies percaya bahawa ilmu pengetahuan haruslah dikongsi bersama terutamanya melalui Pendemokrasian Pengetahuan. Oleh itu, PUTRA mengambil langkah untuk melancarkan siri-siri tulisan pengenalan, podcast dan video mengenai kajian sosial, meliputi perbincangan sejarah, ekonomi termasuk sains politik.

Secara asasnya, Siri PUTRA 101 akan ditulis dalam dwi-bahasa iaitu di dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris serta menggunakan laras bahasa atau istilah yang mudah difahami umum sepanjang perbincangan dilakukan untuk membolehkan semua lapisan masyarakat Malaysia mengambil bahagian dalam perkongsian pengetahuan ini.

Pautan ke penulisan asal berbahasa Inggeris: PUTRA 101: Impacts Of COVID-19 Pandemic On The Malaysian Economy

Sebagai permulaan, Siri PUTRA 101 kali ini akan membincangan dua faktor yang menyebabkan penularan COVID-19 telah memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

Pertamanya, penyebaran wabak COVID-19 yang berasal dari Wuhan, China telahpun menyebabkan penyekatan keluar-masuk (lockdown) di peringkat dunia sekaligus memaksa semua negara untuk berhenti menghasilkan, menjual atau membeli barangan di antara satu sama lain. Secara tidak langsung, ini juga telah menyebabkan pengurangan pendapatan dan keuntungan bagi perniagaan yang terlibat dalam perdagangan import dan eksport sebelum penularan wabak ini.

Seperti yang kita semua tahu, YAB Perdana Menteri pada 10 April 2020 yang lalu telahpun mengumumkan lanjutan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) sehinga 28 April yang akan datang. Dengan pelaksanaan tersebut juga,semua perkhidmatan telahpun diarahkan tutup dengan pengecualian kebenaran operasi dibuat kepada perkhidmatan penting sahaja.

Untuk mengurangkan kesan buruk pelaksanaan MCO kepada ekonomi, kerajaan telah membenarkan premis perniagaan yang menjual barang keperluan asas seperti kedai runcit dan pasar raya untuk dibuka. Restoran Mamak dan semua kedai makan lain juga masih boleh dibuka dengan syarat makanan dan minuman yang dibeli perlulah dibungkus atau dihantar terus kepada pelanggan.

Walau apapun, pelaksanaan MCO ini tetap bakal memberi kesan kepada peniaga-peniaga.

Hal ini kerana walaupun diberi kebenaran untuk terus beroperasi, ianya pasti tetap menyukarkan mereka untuk  melunaskan gaji pekerja disamping perlu terus memastikan kelangsungan perniagaan mereka dek kerana pengurangan kadar untung dan pendapatan harian susulan penyusutan pelanggan yang kebanyakannya kini pastinya berada di rumah. Tidak hairanlah ramai juga yang memilih untuk menutup perniagaan mereka semasa tempoh MCO. Apatah lagi untuk  sektor perkhidmatan tidak penting yang memang diwajibkan menutup premis sepanjang masa MCO dan pekerja juga tidak dibenarkan keluar.

Terdapat 3 kesan daripada penutupan perniagaan-perniagaan kepada pekerja iaitu:

  1. Pengurangan gaji – dengan pengurangan waktu bekerja, sebilangan pekerja mungkin mendapati gaji mereka juga dikurangkan.
  2. Tidak diberikan gaji sama sekali – sebilangan pemilik perniagaan mengambil keputusan untuk memberikan cuti tanpa gaji kepada pekerja mereka kerana mereka tidak mampu membayar gaji pekerja kerana mereka tidak memperoleh keuntungan sama sekali semasa MCO.
  3. Diberhentikan kerja – kesan terburuk bagi pekerja dari wabak COVID-19 ini adalah bahawa sementara beberapa perniagaan berjuang untuk memenuhi keperluan, beberapa perniagaan telah memutuskan untuk mengambil langkah drastik iaitu memberhentikan pekerja mereka untuk menyelamatkan perniagaan mereka.

Dengan ketiga-tiga kesan diatas kepada pekerja, dapatlah kita simpulkan bahawa benarlah wabak COVID-19 telahpun memberi kesan sekaligus menjejaskan ekonomi dunia, negara dan kita semua. Dengan kata lain, apabila peniaga/perniagaan mula bertindak balas dan ini mempengaruhi pendapatan pekerja, pasaran domestik (ekonomi Malaysia) juga akan turut terjejas. Secara mudahnya, berikut adalah sebab-sebabnya:

  1. Oleh kerana wabak COVID-19, perniagaan tidak dibenarkan beroperasi seperti biasa.
  2. Perniagaan sukar untuk bertahan dalam meneruskan kelangsungan perniagaan mereka kerana pekerja (pengguna) tidak berbelanja seperti biasa. Pekerja pula tidak dibenarkan keluar selain tiada cara untuk mengeluarkan wang / membeli di kedai-kedai.
  3. Untuk memastikan perniagaan mereka selamat, pekerja diberi potongan gaji, cuti tanpa gaji atau yang paling teruk, diberhentikan terus. Akhirnya ini akan mempengaruhi pekerja tersebut secara langsung.
  4. Oleh kerana pekerja tidak berpendapatan sama seperti sebelumnya;
  5. Ini akan menyebabkan pengurangan perbelanjaan oleh pekerja (pengguna) kerana sekarang, mereka tidak mempunyai wang untuk di belanjakan seperti sebelumnya.
  6. Ini seterusnya menjadikan perniagaan lebih sukar untuk bertahan kerana keuntungan mereka sekarang akan lebih rendah daripada yang mereka peroleh pada tahap awal MCO.
  7. Proses aturan 2 hingga 5 akhirnya nanti akan menjadi rantaian proses berulang kali.

Untungnya buat kita di Malaysia, kerajaan telahpun membantu dan mengawal keadaan dengan baik melalui pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN. Untuk sementara waktu ini, ekonomi Malaysia sedang menjalani proses penyesuaian dengan keadaan COVID-19. Hal ini dapat kita lihat melalui trend peningkatan kebergantungan kepada perkhidmatan e-hailing dan e-dagang.

Nantikan siri kami yang seterusnya dalam membincang dan menjelaskan kembali dengan lebih mudah tentang penstrukturan semula ekonomi akibat wabak COVID-19 dalam siri PUTRA 101 seterusnya.

#StayAtHome, pastikan anda sentiasa mengamalkan gaya hidup selamat dan jumpa anda dalam penulisan seterusnya!

Ingat, #KitaJagaKita.


Penulisan asal oleh Syahmi Rafsanjani Shaarani, Managing Partner di PUTRA.
Diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh Luqman Hakim, Senior Partner di PUTRA.

Subscribe to PUTRA's monthly dose of
bite-sized articles for FREE!

Subscribe to PUTRA’s MONTHLY dose of bite-sized articles for FREE!

This Post Has One Comment

Leave a Reply